Sikap Positif Dan Negatif Dalam Kehidupan Sehari-Hari: Faktor-Faktor Penentu

Adakah sikap lahir bersama dengan kita atau adakah kita membentuknya ketika kita matang? Faktor apakah yang membentuk sikap kita? Jika anda mempunyai pandangan negatif terhadap kehidupan kerana persekitaran anda, bolehkah anda mengubah sikap anda?



 

sikap-positif-negatif-kehidupan-seharian

Kebanyakan sikap kita dibentuk selama tahun - tahun formatif kita. Terdapat tiga faktor utama yang menentukan sikap kita. Ianya adalah:

1. persekitaran

2. pengalaman

3. pendidikan

 

Ini digelar tiga P serangkai untuk sikap. Mari kita lihat setiap faktor satu-persatu.

 

1. Persekitaran

Persekitaran terdiri daripada yang berikut:

  • Rumah: pengaruh positif atau negatif
  • Sekolah: tekanan rakan sebaya
  • Kerja: penyelia yang menyokong atau terlebih kritik
  • Media: televisyen, akhbar, majalah, radio, filem
  • Latar belakang budaya
  • Latar belakang agama
  • Tradisi dan kepercayaan
  • Persekitaran sosial
  • Persekitaran politik

 

Semua persekitaran ini mewujudkan budaya. Setiap tempat sama ada rumah, organisasi atau negara mempunyai budaya.

 

Pernahkah anda perasan kadang-kadang anda pergi ke kedai dan anda dilayan oleh jurujual yang sopan, penyelia, pengurus dan pemilik juga sopan? Tetapi bila anda pergi ke kedai yang lain pula anda mendapati semua orang di situ kasar dan tidak sopan.

 

Anda pergi ke sebuah rumah dan anda nampak anak-anak dan ibu bapa yang berkelakuan baik, sopan dan bertimbang rasa. Bila anda pergi ke rumah lain pula, semua orang sedang bercakaran seperti kucing dan anjing.

 

Di negara di mana kerajaan dan persekitaran politiknya jujur, secara amnya anda akan dapati yang rakyatnya juga jujur, mematuhi undang-undang dan sangat membantu. Dan yang sebaliknya juga. Dalam persekitaran yang korup, orang yang jujur menghadapi saat yang sukar. Sedangkan dalam persekitaran yang jujur, yang korup menghadapi masa yang sukar.

 

Dalam persekitaran yang positif, keberhasilan seorang pekerja yang biasa-biasa meningkat. Dalam persekitaran negatif, keberhasilan pekerja yang baik menurun.

 

Budaya di mana-mana tempat sentiasa datang dari yang atasan turun ke bawah, tidak pernah dari bawahan ke atasan. Kita perlu berhenti sejenak dan lihat jenis persekitaran yang telah kita bina untuk diri kita sendiri dan orang-orang di sekeliling kita.

 

Sukar untuk mengharapkan tingkah laku yang positif dalam persekitaran yang negatif. Di mana pelanggaran undang-undang dah menjadi undang-undang, rakyat yang jujur pun boleh bertukar menjadi penipu, penjahat dan pencuri.

 

Bukankah sudah tiba masanya untuk kita menilai semula persekitaran kita sekarang atau persekitaran yang kita telah cipta untuk orang lain?

 

2. Pengalaman

Tingkah laku kita berubah mengikut pengalaman kita dengan orang lain dan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita. Jika kita mempunyai pengalaman positif dengan seseorang, sikap kita terhadapnya menjadi positif dan sebaliknya.

 

3. Pendidikan

Saya merujuk kepada pendidikan formal dan tidak formal, bukan hanya kelayakan akademik. Pengetahuan yang diterapkan secara strategik diterjemahkan kepada kebijaksanaan, memastikan kejayaan. Saya bercakap tentang pendidikan dalam erti kata yang lebih luas. Ia menjadikan peranan pendidik sangat penting. Seorang guru memberi kesan yang abadi. Kesan keabadiannya tak dapat nak diukur.

 

Kita tenggelam dalam informasi tetapi kebuluran dalam pengetahuan dan kebijaksanaan. Pendidikan harus mengajar kita bukan sahaja bagaimana mencari nafkah tetapi juga bagaimana untuk hidup.

 

BAGAIMANA ANDA MENGENALI ORANG YANG MEMPUNYAI SIKAP POSITIF?

 

Sama seperti keadaanya jika kita tiada penyakit, ia tak bermaksud kita mempunyai kesihatan yang baik, ketiadaan yang negatif sahaja tidak menjadikan seseorang itu positif.

 

Orang yang mempunyai sikap positif mempunyai ciri keperibadian tertentu yang mudah dikenali. Mereka ambil peduli, percaya diri, sabar, dan rendah hati. Mereka mempunyai harapan yang tinggi pada diri mereka sendiri dan juga orang lain. Mereka sering menjangkakan hasil yang positif. 


Seseorang yang mempunyai sikap positif adalah seperti buah yang ada pada setiap musim. Dia sentiasa dialu-alukan.

 

FAEDAH BERSIKAP POSITIF

 

Faedahnya banyak dan mudah untuk dilihat. Tetapi apa yang mudah dilihat, mudah juga terlepas pandang. Untuk menyebutkan beberapa, sikap positif:

 

  • meningkatkan produktiviti
  • memupuk kerja berpasukan
  • menyelesaikan masalah
  • meningkatkan kualiti
  • membuatkan suasana  aman
  • memlahirkan kesetiaan
  • meningkatkan keuntungan
  • memupuk hubungan yang lebih baik antara majikan, pekerja, dan pelanggan
  • mengurangkan tekanan
  • membantu seseorang menjadi ahli masyarakat yang menyumbang dan aset kepada negara
  • menerbitkan keperibadian yang menyenangkan

 

PENGARUH NEGATIF

 

Remaja hari ini belajar daripada tingkah laku orang dewasa dan media. Mereka menghadapi tekanan rakan sebaya. Tekanan rakan sebaya tidak hanya terhad kepada remaja, ia juga sesuatu yang lazim kepada orang dewasa. Ia menunjukkan kurangnya harga diri seseorang apabila dia tidak berani untuk mengatakan "Tidak, terima kasih," dan menjauhkan diri daripada pengaruh negatif.

 

Apakah pengaruh negatif itu?

 

1. Manusia Negatif

Jika anda ingin terbang seperti helang, anda perlu belajar cara sang helang. Jika anda bersekutu dengan orang yang berjaya, anda juga akan mencapai kejayaan. Jika anda bergaul dengan pemikir, anda pun akan menjadi seorang pemikir. Jika anda bergaul dengan dermawan, anda pun akan menjadi dermawan. Jika anda bergaul dengan seorang yang suka mengeluh, anda pun akan mengeluh juga.

 

Setiap kali ada orang berjaya dalam hidup, ada orang akan memperlekehkan kejayaan tersebut dan cuba menarik mereka ke bawah. Ketika Anda menolak untuk berlawan dengan orang-orang seperti itu, Anda sebenarnya beroleh kemenangan. 


Dalam kaedah seni mempertahankan diri, jurulatih akan memberitahu anda bila ada seseorang cuba menyerang anda, daripada anda menyangga serangannya adalah lebih baik untuk anda mengelak sahaja.

 

Mengapa? Untuk menyangga pun anda memerlukan tenaga. Mengapa tidak menggunakan tenaga itu untuk sesuatu yang lebih berguna?

 

Samalah juga, untuk melawan orang yang memperlekehkan kita, kita perlu turun ke aras yang sama dengan mereka. Itu adalah apa yang mereka mahu, karena sekarang Anda sudah menjadi salah seorang daripada mereka. Jangan biarkan orang negatif menyeret anda ke bawah.

 

Ingat, watak seseorang bukan sahaja dinilai daripada kumpulan yang dia sertai tetapi juga daripada kumpulan yang dia jauhi.

 

2. Merokok, Dadah dan Alkohol

Minum membuat seseorang hilang batasan dan memberi pendedahan.

 

Mengikut pemerhatian sepanjang kerjaya saya, saya perhatikan yang di beberapa buah negara minum telah menjadi kebiasaan. Jika anda tidak minum bersama, mereka melihat seolah-olah ada sesuatu yang tak kena dengan anda. Slogan mereka adalah: "Tidak mengapa jika bahasa Inggeris anda teruk, asalkan Scotch anda bagus." Jika ada mana-mana pekerja bank bertanyakan mereka tentang aset cair mereka, mereka akan membawa dua botol Scotch.

 

Minum dan merokok diglamorkan hari ini. Segalanya bermula dengan kali pertama. Jika anda bertanya kepada orang mengapa mereka mengambil alkohol atau mengambil dadah, mereka akan memberi anda pelbagai sebab, umpamanya: untuk meraikan; untuk bersenang-senang; untuk melupakan masalah; untuk berehat; untuk mencuba; untuk menarik perhatian (ianya kelihatan gah untuk minum); untuk bergaya; untuk bergaul; untuk tujuan perniagaan.

 

Mereka tunduk dengan tekanan rakan sebaya. Saya berasa kagum dengan cara rakan sebaya menekan dan memaksa dengan menggunakan frasa seperti: "Bukan ke kau kawan aku?"; "Satu je untuk tujuan ni"; "Sekali ni saja untuk kesihatan aku."

 

3. Pornografi

Pornografi tidak lebih hanyalah merendahkan kedudukan kaum wanita dan kanak-kanak dengan tidak berperikemanusiaan.

 

Kesan pornografi adalah ia ...

 

  • tidak berperikemanusiaan terhadap wanita
  • menjadikan kanak-kanak mangsa
  • meruntuhkan perkahwinan
  • menggalakkan keganasan seksual
  • memperolok-olokkan nilai etika dan moral
  • memusnahkan individu, keluarga, dan komuniti

 

Sungguh menyedihkan bila melihat betapa rendahnya sesetengah orang sanggup membongkok untuk menjana wang dengan menjadikan pornografi sebagai bahan perniagaan mereka. Bagaimana pula dengan ‘orang sakit’ yang melanggannya?

 

4. Filem dan Program Televisyen Yang Negatif

Anak-anak hari ini lebih banyak belajar tentang sikap dan nilai-nilai hidup mereka daripada televisyen dan filem berbanding dengan sumber lain. Dianggarkan di Amerika Syarikat, apabila seorang anak muda keluar dari sekolah menengah, dia telah menonton lebih daripada 20,000 jam televisyen, menyaksikan 15,000 pembunuhan, dan menonton 100,000 iklan yang berkaitan dengan alkohol.

 

Mesej yang disampaikan ialah minum itu menyeronokkan, perokok lebih glamor, dan dadah adalah "gaya". Tak hairanlah kadar jenayah begitu tinggi!

 

Ada banyak Sitcom (luar negara) yang mempopularkan perlakuan seks sebelum dan luar nikah. Tidak hairanlah jika kurangnya komitmen dalam sesuatu hubungan dan kadar perceraian juga tinggi. Penonton yang terpengaruh meletakkan standard dan penanda aras mereka berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar daripada media. 


Dan tak kiralah siapa kita, kita semua mudah dipengaruhi mengikut tahapan yang berbeza.

 

5. Kata-kata yang tak senonoh

Menggunakan kata-kata tidak senonoh menunjukkan kurangnya kawalan diri dan disiplin.

 

6. Jenis muzik tertentu

Lirik beberapa lagu hit ada yang tidak senonoh. Kita boleh dipengaruhi secara tidak sedar oleh muzik yang kita dengar dan cerita-cerita yang kita tonton.

 

KESAN-KESAN SIKAP NEGATIF

 

Kehidupan kita adalah umpama jalan berhalangan dan kitalah halangan terbesar untuk diri kita sendiri dengan memiliki sikap negatif. Orang yang mempunyai sikap negatif menghadapi masa yang sukar untuk menjaga persahabatan, pekerjaan, perkahwinan dan hubungan. Sikap mereka membawa kepada

 

  • kepahitan
  • kebencian
  • kehidupan tanpa tujuan
  • kesihatan yang tidak baik
  • tahap tekanan tinggi untuk diri sendiri dan orang lain

 

Mereka mewujudkan persekitaran negatif di rumah dan tempat kerja, dan menjadi liabiliti kepada masyarakat. Mereka juga menyebarkan tingkah laku negatif mereka kepada orang lain di sekeliling mereka dan kepada generasi akan datang.

 

APABILA KITA MENYEDARI SIKAP NEGATIF KITA, MENGAPA KITA TIDAK BERUBAH?

 

Charles Dickens menulis tentang seorang tahanan yang tinggal selama bertahun-tahun di penjara bawah tanah. Selepas menjalani hukumannya, dia akhirnya dibebaskan. Dia dibawa keluar dari selnya yang gelap ke dunia terbuka yang terang benderang. Lelaki ini melihat sekelilingnya dan selepas beberapa saat dia berasa sangat tidak selesa dengan kebebasan yang baru diperolehinya sehingga dia meminta untuk dibawa semula ke dalam kurungannya. Baginya, penjara bawah tanah, rantai dan kegelapan lebih aman dan nyaman daripada menerima perubahan kebebasan dan dunia terbuka.

 

Secara amnya, sifat manusia menentang perubahan. Perubahan adalah tidak selesa. Tidak kira kesan positif atau negatifnya, perubahan boleh menjadi tekanan. Kadang-kadang kita begitu selesa dengan sesuatu yang negatif hinggakan walaupun perubahan itu adalah untuk yang positif, kita tidak mahu menerimanya. Kita lebih rela kekal dengan yang negatif.

No comments:

Post a Comment