Motivasi Diri Untuk Belajar

Sebagai seorang anak muda Scots, Andrew Carnegie datang ke Amerika dan bermula dengan melakukan kerja-kerja rencam. Dia akhirnya menjadi pemilik salah satu pengeluar keluli terbesar di sana. Ada pada suatu masa, dia mempunyai 43 jutawan yang bekerja untuknya. Beberapa dekad yang lalu, satu juta dolar dikira sebagai sejumlah wang yang banyak; sehingga hari ini ia masih lagi merupakan jumlah wang yang banyak. Ada seseorang bertanya kepada Encik Carnegie bagaimana dia berurusan dengan orang lain? Andrew Carnegie menjawab, "Berurusan dengan orang adalah seperti menggali emas: Apabila anda pergi menggali satu auns emas, anda perlu memindahkan banyak kotoran untuk mendapatkan satu auns emas. Tetapi apabila anda menggali, anda tidak pergi mencari kotoran, anda pergi mencari emas.”

 

Apa fokus kita? Menjadi penggali emas. Inilah motivasi diri untuk kita belajar iaitu untuk mencari ilmu (emas) disebalik timbunan pengetahuan yang ada disekeliling kita.


motivasi diri belajar

 

Jika anda mencari apa yang tak kena dengan manusia atau dengan benda, banyak je yang anda akan dapat. Apa yang sedang anda cari?

 

Jawapan Andrew Carnegie membawa mesej yang sangat penting. Ada sesuatu yang positif dalam setiap orang dan setiap keadaan. Kadang-kadang kita perlu menggali jauh untuk mencari yang positif kerana ia mungkin tidak jelas. 


Selain itu, kita begitu biasa mencari apa yang salah dengan orang lain dan situasi, kita lupa untuk melihat apa yang betul. Ada orang pernah berkata yang jam, walaupun dah mati, tetap akan betul dua kali sehari (sekali waktu siang, sekali lagi waktu malam)

 

Ingat masa kita pergi mencari emas, kita harus bersihkan hampir bertan-tan kotoran untuk dapat hanya auns emas. Tapi masa kita keluar mencari, kita tidak keluar untuk mencari kotoran, kita keluar mencari emas, kan?

 

Sesetengah Orang Asyik Mencari Yang Negatif Saja Dan Itu Bukan Motivasi Diri Untuk Belajar

 

Ada seorang pemburu yang membeli ‘anjing burung’, satu-satunya spesies tersebut di dunia, yang boleh berjalan di atas air . Dia macam tak percaya bila melihat keajaiban itu. Pada masa yang sama, dia sangat gembira kerana dia dapat menunjukkan apa yang baru dia jumpa kepada kawan-kawannya. Dia ajak salah seorang kawannya untuk pergi berburu burung. Setelah beberapa lama, mereka menembak beberapa ekor burung dan lelaki itu menyuruh anjingnya untuk berlari dan mengambil burung-burung itu. Sepanjang hari anjing itu berlari di atas air dan terus mengambil burung. Si Pemilik anjing tadi mengharapkan komen atau pujian menggunung kepada anjingnya yang ajaib itu tetapi tiada sepatah kata pun terucap oleh kawannya tadi. Semasa mereka pulang ke rumah, dia pun bertanya kepada kawannya kalau-kalau dia ada nampak sesuatu yang luar biasa pada anjingnya. Kawannya menjawab selamba, "Ya, sebenarnya, aku ada nampak sesuatu yang luar biasa. Anjing kau tak boleh berenang!”

 

Hanya Dengar Apa Yang Kita Nak (Motivasi Lazim)

 

Untuk memberi contoh yang kita dengar apa yang kita nak sahaja, biar saya kongsikan satu kisah yang pernah saya dengar tentang seorang doktor perubatan yang dijemput sebagai penceramah tamu kepada sekumpulan kaki botol. 


Doktor itu berniat untuk menunjukkan sesuatu yang dia kira cukup berkesan yang boleh membuatkan mereka menyedari bahawa alkohol membahayakan kesihatan mereka. 

Dia sediakan dua bekas, satu berisi air suling dan satu lagi berisi alkohol. Dia kemudiannya meletakkan seekor cacing tanah ke dalam air suling dan ia berenang dengan santai dan naik ke atas. Dia, selepas itu, meletakkan seekor lagi cacing tanah ke dalam bekas berisi alkohol dan ia terus hancur di hadapan mata semua orang. Dia ingin membuktikan bahawa inilah kesan alkohol kepada bahagian dalaman badan kita. 

Doktor itu bertanya kepada kumpulan kaki botol itu apa pengajaran yang mereka dapat daripada apa yang baru saja dia tunjukkan, dan ada seorang menjerit dari tempat duduk belakang. Katanya, "Jika kita minum, tak akan ada cacing dalam perut kita!"

 

Itukah mesejnya? Tentu saja tidak.


motivasi diri belajar dengar

 

Itu adalah kita yang mendengar secara terpilih - kita dengar apa yang kita nak dengar, dan bukan apa yang diucapkan. Dan itulah yang lazimnya berlaku.

 

Pelajaran Atau Didikan Yang Tak Bernilai

 

Belajar tapi macam tak berguna sedikit pun. Pendidikan yang benar melatih akal dan hati, kedua-duanya sekali. Ini mungkin contoh yang kurang baik tetapi seorang Pencuri yang tidak berpendidikan mungking boleh mencuri barang dari satu gerabak keretapi, tapi Pencuri yang berpendidikan boleh mencuri seluruh landasan dengan keretapinya sekali.

 

“Universiti sedang menghasilkan orang gasar yang berkemahiran tinggi kerana kita tidak menyediakan kerangka nilai kepada golongan muda, yang semakin hari semakin ramai mencarinya.”

Steven Muller, Presiden, Johns Hopkins University

 

Kita perlu bersaing untuk pengetahuan dan kebijaksanaan, bukan untuk gred. Pengetahuan menumpuk fakta, kebijaksanaan menyaringnya. Seseorang boleh saja ada PNG (Purata Nilai Gred)  yang tinggi dan ijazah tapi tak belajar banyak sebenarnya. Perkara paling penting yang kita nak belajar ialah "Belajar untuk Belajar." Ramai orang keliru antara pendidikan dengan kebolehan menghafal dan mengingat fakta. Pendidikan minda tanpa moral boleh mendatangkan malapetaka kepada masyarakat.

 

Seorang Yang Terpelajar Tak Bermakna Dia Boleh Menilai Sesuatu Dengan Baik

 

Ada cerita tentang seorang lelaki yang menjual hot dog di tepi jalan. Dia buta huruf, jadi dia tidak pernah membaca suratkhabar . Dia ada masalah pendengaran, jadi dia tidak pernah mendengar radio. Matanya juga lemah, jadi dia tidak pernah menonton TV. Tetapi kerana semangatnya, dia dapat menjual banyak hot dog. Jualan dan keuntungannya meningkat. Dia memesan lebih banyak daging, dan membeli dapur yang lebih baik dan lebih besar. Ketika perniagaannya semakin berkembang, anak lelakinya, yang baru sahaja lulus dari kolej, turut menjual bersamanya.

 

Kemudian sesuatu yang anih terjadi ...

 

Si Anak lalu bertanya: "Ayah, ayah sedar tak yang kemelesetan ekonomi besar akan sampai kepada kita tak lama lagi?"

Si Bapa: "Tak ... Cuba kau cerita."

Si Anak: "Keadaan luar negara sekarang sangat teruk. Dalam negara kita lebih teruk lagi. Kita kena sedia untuk menghadapi saat sukar bila-bila masa saja.”

 

Lelaki itu lalu berfikir yang anaknya dah lulus kolej, banyak membaca, dan mendengar radio, jadi dia sepatutnya lebih tahu dan nasihatnya tidak boleh diambil ringan. Jadi keesokan harinya, Si Bapa mengurangkan pesanan daging dan rotinya, menurunkan papan tandanya dan tidak lagi menjadi begitu bersemangat. Tak lama selepas itu, semakin kurang orang yang ambil peduli untuk berhenti di tempat hot dognya. Dan penjualannya mulai susut dengan pantas.

 

Si Bapa kemudian berkata kepada anaknya, "Anak, kau betul. Kita sedang berada di tengah-tengah kemelesetan. Mujur kau dah beri amaran awal.”

 

Apa pengajaran cerita ni?

1. Acap kali kita keliru antara kecerdasan dengan penilaian yang baik.

2. Seseorang mungkin mempunyai kecerdasan yang tinggi tetapi penilaian yang teruk.

3. Pilih penasihat dengan teliti dan gunakan pertimbangan anda sendiri.

4. Seseorang boleh dan akan berjaya dengan atau tanpa pendidikan formal jika mereka mempunyai ciri-ciri seperti:

  • Komitmen
  • Keyakinan
  • Ihsan
  • Keberanian

5. Tragedi yang kerap berlaku ialah ada banyak ‘Ensiklopedia Berjalan’ yang gagal dalam hidup.

 

Kebijaksanaan adalah kepantasan mempelajari sesuatu. Keupayaan adalah kemahiran untuk menerapkan apa yang dipelajari. Kompetensi adalah keupayaan dan keinginan untuk menerapkan apa yang dipelajari. Keinginan adalah sikap yang menjadikan orang yang mahir cekap. Ramai orang yang mahir tidak cekap. Keupayaan tanpa sikap yang betul adalah sia-sia.


kebijaksanaan

 

"Kewajipan pertama universiti adalah untuk mengajar kebijaksanaan, bukan berdagang; watak, bukan teknikal."

Winston Churchill

 

Berpendidikan Atau Terpelajar

 

Kalau begitu, siapa saja yang kita boleh panggil 'berpendidikan'?

 

Pertama, mereka yang menguruskan dengan rapi segala keadaan yang mereka hadapi hari ke hari; dan mereka yang boleh menilai dengan wajar segala situasi apabila ia muncul dan jarang terlepas untuk bertindak dengan cara yang sesuai.

 

Seterusnya, mereka yang terhormat dalam urusan mereka dengan semua manusia, dengan mudah menanggung apa yang tidak menyenangkan atau yang menyinggung perasaan yang datang daripada orang lain, dan bersikap munasabah dengan rakan-rakan, melayan mereka dengan peri kemanusiaan selayaknya.

 

Tambahan lagi, mereka yang mampu mengawal diri bila berseronok dan tidak tenggelam dengan nasib malang yang menimpa mereka, menanggung semua itu dengan berani dan dengan cara yang selayaknya dengan sifat semulajadi kita.

 

Yang paling penting, mereka yang tidak dihanyutkan oleh kejayaan mereka, yang tidak lupa diri mereka yang sebenar, tetapi tetap memegang teguh prinsip sebagai seorang manusia yang bijak dan berfikiran waras, tidak berlebih-lebihan berseronok dalam perkara-perkara baik yang telah datang kepada mereka melalui peluang yang mereka ambil mahupun yang hadir melalui sifat dan kecerdasan mereka sendiri yang telah mereka miliki sejak lahir.

 

Mereka yang memiliki karakter yang selaras, bukan dengan hanya salah satu dari hal-hal tersebut, tetapi dengan kesemuanya sekali itulah mereka yang berpendididikan - memiliki semua nilai-nilai murni. --Socrates (47~399 B.C.)

 

Seorang pakar adalah seorang yang ada semua jawapan jika kita tanyakan soalan-soalan yang betul.

 

Apakah Dia Pelajar Yang Berpendidikan Luas?

 

Ada beberapa ekor haiwan di hutan buat keputusan untuk mulakan sebuah sekolah. Penuntut sekolah itu termasuklah burung, tupai, ikan, anjing , arnab & belut yang terencat akal. Satu lembaga telah dibentuk dan telah memutuskan yang terbang, memanjat pokok, berenang, dan menggali akan menjadi sebahagian daripada kurikulum untuk memberikan pendidikan yang luas. Semua penuntut haiwan dikehendaki mengambil kesemua subjek tersebut.

 

Burung sangat cemerlang dalam terbang dan asyik mendapat Gred A tetapi bila ia pergi ke bab menggali, ia asyik mematahkan paruh dan sayapnya dan mula gagal. Tidak lama kemudian, ia mula mendapat Gred C untuk terbang dan sudah tentunya dalam memanjat pokok dan berenang ia mendapat Gred F.

 

Tupai pula hebat memanjat pokok dan mendapat Gred A, tapi gagal dalam berenang.

 

Ikan adalah perenang terbaik tetapi tidak dapat keluar dari air dan mendapat F dalam segala-galanya.

 

Anjing tak masuk sekolah, berhenti membayar cukai dan terus bergaduh dengan pihak pentadbiran supaya mereka memasukkan menyalak sebagai sebahagian daripada kurikulum.

 

Arnab mendapat A dalam menggali tetapi memanjat pokok adalah masalah besar. Ia terus jatuh dan mendarat dengan kepalanya, mengalami rosak otak, dan tak lama selepas itu tidak lagi dapat menggali dengan betul dan mendapat Gred C untuk itu pula.

 

Belut yang terencat akal, yang melakukan separuh sahaja untuk segala-galanya tiba-tiba menjadi wakil kelas. Lembaga gembira kerana semua orang mendapat pendidikan yang luas.

 

Apa yang dimaksudkan dengan berpendidikan luas ialah pelajar bersedia untuk hidup, tanpa hilang bidang pengkhususan atau kecekapan mereka.

 

Kita Semuanya Pelajar Yang Berbakat Dan Ada Kelebihan Masing-masing

 

Saiz kecil hummingbird, dengan berat hanya sepersepuluh auns, memberikannya fleksibiliti untuk melakukan gerakan terbang yang rumit, seperti mengepakkan sayapnya 75 kali sesaat. Ini membolehkan hummingbird minum nektar dari bunga semasa berlegar-legar tetapi ia tidak boleh menyusur, meluncur atau melompat. Burung unta, dengan berat 300 paun, adalah burung terbesar tapi tidak boleh terbang. Walau bagaimanapun, dengan kakinya yang begitu kuat, ia boleh berlari sehingga 50 batu sejam, melangkah sehingga 12-15 kaki setiap kali.


bakat dan kelebihan tersendiri

 

Kejahilan

 

Ilusi berpengetahuan bukanlah berpendidikan atau terpelajar, tetapi kejahilan. Orang bodoh mempunyai keyakinan yang pelik yang datang hanya dengan kejahilan.

 

"Kejahilan tidaklah begitu memalukan jika dibandingkan dengan keengganan belajar melakukan sesuatu perkara dengan caranya yang betul." --Benjamin Franklin

 

Tiada celanya jika jahil, tetapi membuat seolah-olah kejahilan itu satu bentuk pekerjaan adalah satu kebodohan. Ada sesetengah orang yang menumpuk-numpuk kejahilan mereka dan mereka keliru antara kejahilan dan berpendidikan.

 

Kejahilan bukan kebahagiaan. Ia adalah kesengsaraan, tragedi, kemiskinan, dan penyakit. Jika kejahilan adalah kebahagiaan, kenapa tidak lebih ramai orang berasa gembira? Sekiranya sedikit pengetahuan itu berbahaya, begitu lah juga dengan banyak kejahilan yang membawa kepada kebodohan, ketakutan, dogmatisme, egoisme, dan prasangka.

 

"Kebijaksanaan adalah tidak lebih daripada menghapuskan kejahilan."

 

Kita hidup di zaman teknologi maklumat. Dianggarkan bahawa jumlah pengetahuan meningkat dua kali ganda setiap tahun. Dengan maklumat yang begitu mudah didapati, sepatutnya lebih mudah untuk menghapuskan kejahilan. 


Sungguh menyedihkan bila melihat yang kita diajar hampir segala-galanya tetapi tertinggal perkara paling utama. Kita diajar tiga M (membaca, menulis, mengira), tetapi apa gunanya pendidikan intelektual tanpa memahami maruah dan kasihan belas?

 

"Sekolah adalah mata air pengetahuan: ada penuntut datang untuk meneguk, ada yang datang untuk menghirup dan yang lain datang hanya untuk berkumur-kumur."

 

Jernih Akal


akal jernih sihat

 

Pendidikan dan pengetahuan tanpa akal yang sehat membawa makna yang sedikit. Akal adalah keupayaan untuk melihat perkara-perkara seadanya dan melakukan sesuatu seperti yang sepatutnya.

 

Kita dilahirkan dengan lima deria: sentuhan, rasa, penglihatan, bau, dan pendengaran. Tetapi orang yang berjaya mempunyai pancaindera yang keenam. Akal sehat dapat dimiliki walaupun, tidak semestinya sebagai hasil daripada, pendidikan. Pendidikan terbaik tanpa akal yang sehat adalah tidak berharga. Ketajaman akal disebut kebijaksanaan.

 

Menajamkan Akal

 

John, seorang pemotong kayu, bekerja untuk sebuah perusahaan selama lima tahun tapi tidak pernah dinaikan gaji. Syarikat itu mengupah Bill dan dalam masa setahun dia mendapat kenaikan gaji. Ini menimbulkan kebencian pada John dan dia berjumpa bosnya untuk berbincang. Bosnya berkata, "Awak masih memotong jumlah pokok yang sama dengan jumlah pokok lima tahun dulu. Kita ni adalah syarikat yang memandang kepada hasil dan kita dengan senang hati akan menaikkan gaji awak kalau hasil yang awak beri meningkat.” John pun pulang, mula bekerja dengan lebih keras dan menghabiskan masa yang lebih lama tetapi dia masih tidak dapat memotong lebih banyak pokok. Dia berjumpa semula dengan bosnya dan menceritakan keadaannya. Si Bos menyarankan kepada John untuk pergi berbincang dengan Bill. "Mungkin ada sesuatu yang Bill tahu yang awak dan saya tak tahu." John pun pergi bertanya kepada Bill bagaimana dia boleh memotong lebih banyak pokok. Bill menjawab, "Sebaik saja saya siap menebang satu pokok, saya berhenti rehat sebentar dua minit dan mengasah kapak saya. Bila kali terakhir awak asah kapak awak?” Pertanyaan itu mengetuk benak John dan dia sudah menemui jawabannya.

 

Pertanyaan saya, bila kali terakhir Anda ‘mengasah kapak’ Anda? Kejayaan masa lampau dan pendidikan sahaja tidak akan menajamkan akal kita. Kita harus terus menerus menajamkannya.

 

Suburkan Minda Anda

 

Samalah seperti badan kita yang memerlukan makanan yang cukup dan baik setiap hari, minda kita memerlukan pemikiran yang baik setiap hari. Kata kunci dalam ayat sebelumnya adalah makanan yang baik dan pemikiran yang baik.


minda subur

 

Jika kita menyuakan badan kita dengan makanan ringan dan minda kita dengan pemikiran yang kotor, kita akan mempunyai badan dan minda yang sakit. Kita perlu menyuap fikiran kita dengan sesuatu yang murni dan positif untuk terus berada di landasan yang betul. Melalui amalan dan pendedahan yang berterusan, kita dapat mempelajari prinsip-prinsip yang membuatkan seseorang itu berjaya seperti mana kita belajar bermain bolasepak.

 

Pengetahuan Adalah Kuasa

 

Tiap hari kita mendengar yang pengetahuan adalah kuasa. 


Tak jugak. 


Pengetahuan adalah maklumat. Ia adalah potensi untuk kuasa dan ia hanya menjadi kuasa apabila kita menggunakannya dalam tindakan kita.

 

Apakah perbezaan antara orang yang tidak boleh membaca dan orang yang boleh tetapi tidak membaca? 


Tak banyak.

 

Belajar adalah seperti makan sesuatu makanan. Yang penting ialah bukan berapa banyak yang kita makan, tapi berapa banyak yang kita hadam.

 

Pengetahuan adalah potensi kuasa, kebijaksanaan adalah kuasa sebenar. Pendidikan hadir dalam pelbagai bentuk, bukan hanya gred dan ijazah. Ia adalah

 

 

Fikiran kita, seperti otot kita, regang atau kecut bergantung kepada banyak atau sedikit kita bersenam.

 

"Jika anda fikir pendidikan itu mahal, cuba lah menjadi jahil." --Derek Bok

 

Kesimpulan Tentang Motivasi Diri Untuk Belajar

 

Cerita di bawah sesuai untuk menyimpulkan keseluruhan idea ini:

 

Ada sebiji telur helang diletakkan di dalam sarang ayam di padang rumput. Telur itu menetas dan helang yang kecil itu membesar dan berpikiran yang ia adalah seekor ayam padang rumput. Helang itu buat apa yang ayam itu buat. Ia mencakar tanah untuk mencari benih. Ia berketuk dan berketak. Ia tidak pernah terbang lebih daripada beberapa kaki kerana itulah yang ayam selalu buat. Suatu hari ia melihat seekor helang terbang dengan anggun dan megah di langit. Ia bertanya kepada ayam: "Burung apa yang anggun tu?" Ayam-ayam itu menjawab, "Itu helang. Ia burung yang luar biasa, tapi kita tidak boleh terbang sepertinya kerana kita hanyalah ayam padang rumput." Dan anak helang itu tak pernah memikirkan hal itu lagi, percaya yang itu adalah kebenaran. Ia menjalani kehidupan dan mati sebagai seekor ayam padang rumput, menafikan diri daripada keturunan sebenarnya kerana kurangnya wawasan. Sia-sia saja! Dia sebenarnya dilahirkan untuk menang, tetapi telah dilatih untuk kecundang.

 

Perkara yang sama berlaku kepada ramai orang. Bahagian malang daripada kehidupan adalah seperti yang dikatakan Oliver Wendall Holmes:


"Ramai orang dikuburkan, dengan karya muzik mereka dibawa bersama tanpa diserlahkan." 


Kita tidak cemerlang kerana kelemahan wawasan kita sendiri.

No comments:

Post a Comment